Friday, 26 October 2012

Kesan Gemuk dan Banyak Lemak Badan

Benarkah kurus itu cantik? Benarkah badan kurus boleh meningkatkan keyakinan diri? Kurus bagaimana yang diistilahkan cantik sehingga ramai orang berlumba-lumba mahu menguruskan badan sehingga mengetepikan soal kesihatan?

Apabila fikiran dikuasai keinginan meluap mahu kurus, segala usaha sanggup dicuba, termasuk menggunakan kaedah yang boleh membahayakan kesihatan.

Malah, ada yang mengaitkan bentuk badan dengan keyakinan. Soalnya, benarkah orang berbadan kurus dikatakan lebih yakin dan puas dengan kehidupan mereka?

Ini perkara subjektif kerana artis serba boleh, Adibah Noor dan Syaniza Hisham (Syanie) antara contoh individu yang selesa dan yakin dengan diri sendiri.

Bagaimanapun, bukan semua orang memiliki semangat dan keyakinan seperti Adibah dan Syanie. Ada yang mudah hilang keyakinan apabila membandingkan diri sendiri dengan orang lain.

Sedihnya, perbandingan itu tidak terhad kepada saiz badan dan kesihatan, malah pakaian juga dijadikan ukuran kerana segala yang tersalut di badan orang lain dilihat lebih molek.

Persepsi seperti ini perlu diubah kerana harta paling berharga ialah kesihatan. Apabila sihat dan memiliki berat badan seimbang, secara automatik kita berasa selesa dan lebih yakin.

Kajian mendapati berat badan sedikit sebanyak mempengaruhi keyakinan dan kepuasan hidup seseorang. Hasil ini diperoleh daripada kajian Keyakinan Diri, Kepuasan Hidup dan Pengukuran Berat yang dijalankan Frost & Sullivan ke atas 332 responden di Lembah Klang, awal tahun ini.

Menurut Pensyarah Kanan Klinik Psikologi, Unit Psikologi Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan Bersepadu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Alvin Ng, antara penemuan menarik ialah individu yang memiliki ukuran pinggang kecil lebih berpuas hati dengan kehidupan mereka.

Katanya, isu berat badan berlebihan perlu dipandang serius kerana semakin ramai rakyat negara kita gemuk dan obes.

Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, 43.1 peratus penduduk negara ini mengalami masalah kegemukan dan 16 peratus daripada mereka adalah obes.

Peningkatan dua kali ganda berbanding 10 tahun lalu ini membimbangkan pakar perubatan kerana ia mendekatkan ramai orang dengan pelbagai penyakit gaya hidup kronik seperti diabetis, sakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, kegagalan buah pinggang dan masalah mental.

“Individu gemuk sering menerima pelbagai persepsi negatif seperti malas, kurang daya kawalan diri dan keyakinan serta memiliki personaliti kurang menarik.

“Pandangan negatif, syak wasangka dan diskriminasi seperti ini boleh menyebabkan individu gemuk dan obes mengalami tekanan mental.

“Diskriminasi terhadap orang gemuk bermula dari zaman kanak-kanak apabila menjadi bahan ejekan atau usikan kawan. Beberapa kajian menunjukkan kadar kelaziman gangguan mental meningkat dengan jumlah Indeks Jisim Badan (BMI). Ini bermakna lebih ramai orang gemuk dan obes mengalami gangguan mental,” katanya ketika membentangkan hasil kajian anjuran bersama Persatuan Penyelidikan Obesiti Malaysia (MASO) dan Abbott Laboratories melalui kempen Happy Weight at 10.

Kajian yang dibuat secara bersemuka selama 15 minit itu membabitkan 120 lelaki dan 212 wanita berumur antara 25 hingga 40 tahun dan kebanyakannya mempunyai latar belakang pendidikan yang baik (74 peratus memiliki ijazah dan diploma) dengan pendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.

Didapati secara purata penduduk Malaysia, terutama di Lembah Klang, mempunyai berat badan 67.8 kilogram, ketinggian 1.63 meter dan ukuran pinggang 77.8 sentimeter (31.1 inci).

Ini bermakna BMI purata ialah 25.08 — yang meletakkan kebanyakan penduduk kota termasuk dalam kumpulan berlebihan berat badan. (Untuk ukuran BMI penduduk Asia, rujuk Jadual 1).

Mengapa kajian ini dibuat mengikut ukuran BMI penduduk Asia? Dr Ng berkata, badan orang Asia berbeza dengan penduduk Barat, terutama daripada segi jumlah kandungan lemak, walaupun mempunyai ketinggian dan berat badan sama.

Secara semula jadi, pada ketinggian dan berat sama, orang Asia mempunyai lebih kandungan lemak badan. Keadaan ini menyebabkan kita lebih berisiko mendapat pelbagai penyakit kronik disebabkan kegemukan dan obesiti.

Berdasarkan kajian berkenaan, didapati tahap kepuasan hidup responden pada tahap sederhana. Namun paling menarik ialah, apabila ditanya sama ada hidup untuk makan atau makan untuk hidup, 70.5 peratus berkata mereka makan untuk hidup dan 29.5 peratus lagi memilih hidup untuk makan.

Masalah pertambahan berat badan dan saiz pinggang lebih ketara di kalangan wanita berumur (36 hingga 40 tahun) sementara rata-rata responden lelaki mampu mengekalkan ukuran pinggang mereka walaupun umur meningkat.

Badan kurus bukan isu utama di sini kerana yang lebih penting ialah memiliki berat badan dalam lingkungan sihat melalui amalan pemakanan seimbang dan kerap bersenam. Keyakinan akan datang sendiri jika kita sihat dan memiliki berat badan seimbang.

Ramai salah faham dan menganggap jika kurus, mereka tidak perlu bersenam. Tanggapan ini perlu diubah kerana ramai orang kurus juga mengalami masalah kolesterol tinggi dan diserang sakit jantung.

Perunding Endokrinologi Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Dr Faridah Ismail, berkata saiz pinggang besar dan berat badan berlebihan bukan sekadar masalah kosmetik.

Memang berbadan besar dan gemuk tampak kurang menarik, tetapi lebih membimbangkan ialah risiko beraneka penyakit akibat pengumpulan lemak dalam badan.

Malah, pakar perubatan mendefinisikan obesiti sebagai masalah kesihatan kronik.

Menurutnya, lemak adalah sumber tenaga terakhir yang digunakan badan, justeru kita perlu bersenam untuk menggunakan tenaga ini. Lemak paling degil dan susah dikurangkan ialah di pinggang atau dipanggil lemak viseral.

Lemak ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Risiko kesihatan obesiti dibahagi kepada tiga kumpulan besar iaitu mati awal, menjalani kehidupan penuh kesakitan dan kesan psikologi.

a. Mati awal (disebabkan penyakit)

# Diabetes

# Serangan jantung. Paras kolesterol meningkat, terutama kolesterol berbahaya (LDL) dan trigliserid. Pada masa sama paras kolesterol baik (HDL) di kalangan individu obes sangat rendah. Ini sebabnya kini ramai individu semuda 30 tahun boleh mendapat serangan jantung.

# Strok.

# Gangren.

# Tekanan darah tinggi.

# Kanser (orang gemuk berisiko tinggi mendapat kanser usus, esofagus (saluran makanan), payu dara (wanita dan lelaki. Lelaki obes mengalami pembentukan tisu lemak di dada).

# Sindrom apnea tidur (berdengkur kuat, mudah penat, kualiti tidur rendah dan tidur sentiasa terganggu. Mereka juga berisiko mendapat serangan jantung ketika tidur, tekanan darah tinggi, kegagalan jantung dan strok.

# Masalah pernafasan. Ini kerana lemak viseral yang terkumpul mengambil banyak ruang dalam abdomen dan menolak paru-paru. Jadi ruang untuk paru-paru mengembang ketika anda menyedut nafas menjadi sempit.


b. Menjalani kehidupan yang menyakitkan

# Sakit sendi seperti gout, sakit belakang, sakit lutut dan buku lali serta pergelangan tangan. Sendi lutut dan buku lali sangat kecil untuk menampung berat badan keseluruhan. Sendi ini terpaksa menampung beban berlebihan yang melebihi kemampuannya jika anda obes.

# Sukar bernafas, pernafasan menjadi pendek dan tercungap-cungap selepas melakukan aktiviti ringan; pernafasan tersekat ketika tidur.

# Batu pundi hempedu (sakitnya sama seperti sakit melahirkan anak), asid refluks (pedih ulu hati).

# Inkontinens (hilang keupayaan menahan kencing). Apabila kita menjadi terlalu gemuk, otot terpaksa mengembang dan menyebabkan daya pengecutannya terjejas. Bagi orang obes, bangun daripada duduk, ketawa atau batuk kecil boleh menyebabkan mereka terkencing.

# Kesuburan merosot pada lelaki dan wanita, masalah kitaran haid dan kehamilan banyak masalah. Wanita obes berisiko tinggi dapat kencing manis ketika hamil dan tidak boleh banyak bergerak, terutama waktu sarat.

# Vena varikos (urat kaki timbul dan berselirat) menyebabkan sakit kaki.


c. Kesan psikologi

# Resah dan gelisah.

# Tertekan dan murung.


Penurunan berat badan sekecil lima hingga 10 peratus boleh membawa perubahan besar kepada tahap kesihatan seseorang, terutama yang mengalami masalah obesiti. Antaranya ialah:

a. Penurunan kadar kematian

# Lebih 20 peratus penurunan jumlah kematian keseluruhan.

# Lebih 30 peratus penurunan kematian akibat penyakit berkaitan diabetis.

# Lebih 40 peratus penurunan kematian akibat kanser yang disebabkan obesiti.

b. Tekanan darah tinggi — tekanan sistolik menurun 10, tekanan diastolik turun 20. Maknanya jika ketika obes tekanan darah anda 150/98 mmHg, dengan penurunan berat badan lima hingga 10 peratus, tekanan darah boleh berkurang ke 140/78 mmHg.

c. Diabetis

# Menurunkan 30 hingga 50 peratus paras gula ketika puasa (tidak makan).

# Menurunkan 50 peratus risiko mendapat diabetis.

d. Kolesterol

# Penurunan 10 peratus jumlah kolesterol keseluruhan.

# Penurunan 15 peratus kolesterol LDL.

# Penurunan 30 peratus trigliserid.

# Peningkatan lapan peratus kolesterol HDL.

Bagaimana untuk mengurangkan lima hingga 10 peratus berat badan?

Dr Faridah berkata, tiada jalan pintas untuk mengurangkan berat badan kerana pertambahannya berlaku dalam satu jangka masa lama. Jadi proses pengurangan berat badan perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan selamat.

“Perkara utama ialah mesti ada kemahuan sendiri, bersedia dan komited. Tujuan menurunkan berat badan juga perlu jelas kerana anda mesti buat untuk diri kebaikan diri seperti mahu hidup sihat dan panjang umur.

“Jangan berusaha kerana orang lain, contohnya dipaksa isteri atau sayangkan kekasih, kerana usaha ini akan terhenti di tengah jalan.

“Usah mencuba kaedah yang tidak terbukti secara saintifik kerana boleh membahayakan kesihatan. Usah terpengaruh kata-kata manis iklan kerana tindak balas badan kita ke atas sesuatu produk tidak sama dengan orang lain.

“Paling penting ialah ambil tindakan awal. Jika berat badan bertambah, segera mulakan sesi bersenam dan kawal makan. Jangan tunggu hingga mengalami masalah berat badan berlebihan kerana usaha mengurangkannya lebih sukar.

“Jika semua langkah tidak berjaya, dapatkan bantuan doktor. Doktor akan memeriksa kesihatan terlebih dulu sebelum seseorang diberi ubat mengurangkan berat badan untuk mengelak komplikasi dan mengenal pasti risiko yang mungkin berlaku,” katanya.

Dr Faridah berkata, pencegahan adalah kaedah terbaik. Tiada orang dilahirkan dalam keadaan obes. Masalah ini berpunca daripada sikap diri sendiri dan tabiat pemakanan keluarga yang dipupuk sejak kecil. Ibu bapa perlu mendidik anak mengamalkan pemakanan seimbang dan sihat serta lakukan aktiviti senaman keluarga.

Thursday, 25 October 2012

Kelebihan Diet Herbalife

Mengurangkan berat badan tanpa dadah.
Shake Herbalife di jamin 100% bebas dadah. Shake herbalife adalah nutrisi unutk semua golongan. Logiknya bagaimana makanan ini boleh menguruskan badan adalah kerana kalorinya yang rendah tetapi mengandungi kandungan nutrien yang tinggi, memberikan rasa kenyang yang lama, sel yang sihat dan kemampuan badan membakar lemak secara semulajadi.


Mengurangkan berat badan tanpa berlapar.
Kebanyakan program diet akan meminta anda mengurangkan pengambilan makanan. Selera anda akan disekat untuk makan. Akibatnya badan anda akan kekurangan nutrien yang diperlukan oleh badan. Memang anda akan kurus tetapi badan anda akan menjadi lemah dan muka akan kelihatan pucat. Dengan program pengurusan berat badan ini, anda masih boleh menikmati makanan kegemaran anda.


Mengurangkan berat badan tanpa bersenam .
Bersenam amat baik untuk meningkatkan kadar metabolisma, menigkatkan pertahanan sistem kardiovaskular dan meningkatkan jisim otot. Tetapi malangnya tidak ramai yang mampu dan punya masa untuk bersenam. Tea mix herbalife meningkatkan metabilisma dan membakar sebanyak 250kcal untuk setiap gelas 400ml yang di minum. Ini bersamaan dengan 15 minit berjoging. Apabila metabolisma meningkat, sisitem kardiovaskular juga akan bekerja dengan lebih efektif. Kandungan protin dalam F1 dan F3 akan meningkatkan jisim otot anda.


Kekalkan metabolisma badan anda walaupun ketika berdiet
Dengan pengambilan shake herbalife yang lengkap kandungan nutriennnya, badan anda dibekalkan dengan tenaga yang mencukupi unutk menjalankan pembakaran kalori secara semulajadi. Oleh sebab itu metabolisma badan anda akan kekal seimbang dengan keperluan berat badan anda.


Langsing selamanya
95% mereka yang berdiet secara konvesional akan kembali kepada berat asal mereka malah kadang-kadang lebih gemuk dari sebelumnya. Sekarang anda boleh tergolong dalam golongan mereka yang 5% kekal langsing selamanya.

Wednesday, 24 October 2012

Apa itu kalori?


Kalori adalah unit untuk mengukur tenaga
Adakah badan perlukan kalori?
Ya, badan perlukan kalori untuk menjana tenaga, tetapi jika ia diambil (dimakan) terlalu banyak dan tidak dibakar, ia akan ditukar menjadi lemak dan disimpan dalam badan, ini akan menyebabkan pertambahan berat badan dan membahayakan kesihatan.
Macam mana saya hendak kira kalori dalam makanan?
Biasanya setiap produk yang dijual ada kiraan kalorinya di bahagian “Maklumat Pemakanan” dan kiraan juga boleh dibuat dengan mendarab berat dalam “gram” nutrisi berikut dengan nombor pekali yang disenaraikan.
Karbohidrat: Didarab dengan 4 kalori setiap gram
Protein: Didarab dengan 4 setiap gram
Lemak: Didarab dengan 9 setiap gram.
Contoh: Satu hidangan Sos Cili yang mengandungi;
Karbohidrat-53g (53g X 4 = 212 Kalori)
Protein-1g (1g X 4 = 4 Kalori)
Gula (juga Karbohidrat)-16g (16g X4 = 64 Kalori)
Jadi satu tuangan Sos Cili bernilai 280 kalori!
Berapa kalori diperlukan oleh lelaki dan wanita dewasa dalam sehari?
Lelaki: 2000-2500 kalori
Wanita: 1600-2000 kalori
Apa akan berlaku jika saya makan lebih pada itu?
Setiap 8000 kalori yang terkumpul (tidak dibakar) akan menaikkan 1kg berat badan.
Berapa kalori dalam makanan orang Malaysia?
Sila Rujuk artikel "Panduan Mengira Makanan”
Berapa yang selalunya orang dewasa makan sehari?
Makan Pagi: Nasi lemak bersambal (400 kalori) + Telor mata kerbau (21 kalori) + Teh Tarik (120 kalori) = 541 kalori
Pukul 10 pagi: Kuih karipap 3 biji (390 kalori) + Teh O (20 kalori) = 410 kalori
Makan tengahari: Nasi 3 cawan (420 kalori) + Ayam kari (250 kalori) + Dalca Sayur setengah cawan (150 kalori) + Air Tembikai (80 kalori) = 900 kalori
Minum petang: Kopi susu (120 kalori) + Popia Goreng 3 biji (390 kalori) = 510 kalori
Makan Malam: Nasi 3 cawan (420 kalori) + Ikan Tenggiri Masak Merah (142 kalori) + Kangkong goreng belacan (120 kalori) = 682 kalori
Jumlah (541 + 410 + 900 + 510 + 682) = 3043 kalori.
Apa akan berlaku jika tabiat makan kita seperti di atas berlarutan selama setahun?
Jika lelaki bakar 2500 kalori tetapi makan 3043 kalori sehari maka mereka akan simpan 543 kalori setiap hari sebagai lemak. 543 X 365 hari = 198, 195 kalori setahun disimpan. Jadi dalam setahun berat akan meningkat sebanyak 24.77kg!! (198,195 / 8000).


Berapa kalori dalam makanan orang Malaysia?
Kategori: Kuih Muih
1. Kasui berkelapa parut (sekeping) = 160 kalori
2. Kuih lapis (sekeping) = 130 kalori
3. Bingka ubi (sekeping) = 220 kalori
4. Cekodok Pisang (sebiji sederhana) = 180 kalori
5. Popia goreng (satu) = 130 kalori
6. Popia basah (satu) = 95 kalori
7. Pisang goreng (sekeping) = 170 kalori
8. Kek biasa tanpa krim (sepotong) = 87 kalori
9. Karipap (sebiji) = 130 kalori
10. Sandwich sardin (sekeping) = 70 kalori
11. Bubur kacang (semangkuk) = 100 kalori
Kategori: Lauk Pauk
1. Ikan kembong kari berkuah (seekor) = 85 kalori
2. Ikan tenggiri goreng bercili (sepotong) = 142 kalori
3. Ikan kembong goreng (seekor) = 140 kalori
4. Ikan senangin masam manis berkuah (sepotong) = 210 kalori
5. Daging lembu kari berkuah (2 kotak mancis) = 130 kalori
6. Ayam kari berkuah (sepotong) = 250 kalori
7. Ayam goreng (sepotong) = 255 kalori
8. Ayam tandoori (sepotong) = 220 kalori
9. Sambal udang (setengah cawan) = 70 kalori
10. Sambal sotong (setengah cawan) = 55 kalori
11. Telor goreng (sebiji) = 110 kalori
12. Taukua goreng (sekeping) = 110 kalori
13. Kacang panggang dalam tin (2 sudu makan) = 40 kalori
Kategori: Makanan Rutin
1. Nasi putih (satu setengah cawan) = 260 kalori
2. Nasi lemak bersambal (sepinggan) = 400 kalori
3. Nasi goreng bertelur (sepinggan) = 635 kalori
4. Nasi briyani berayam (sepinggan) = 880 kalori
5. Nasi minyak kosong (sepinggan) = 445 kalori
6. Nasi ayam kosong (sepinggan) = 300 kalori
7. Mee goreng kosong (sepinggan) = 660 kalori
8. Mee sup (semangkuk) = 380 kalori
9. Mee hoon goreng (sepinggan) = 550 kalori
10. Roti putih (2 keping) = 156 kalori
11. Roti canai kosong tanpa kuah (sekeping) = 200 kalori
12. Capati tanpa kuah (sekeping) = 180 kalori
13. Pau ayam (sebiji) = 203 kalori
14. Emping jagung kosong (secawan) =160 kalori
Kategori: Makanan Segera
1. Peha ayam goreng (satu) = 130 kalori
2. Nugget ayam (satu) = 60 kalori
3. Kentang lecek (satu tub kecil) = 90 kalori
4. Sayur kobis hancur (satu tub) = 75 kalori
5. Burger keju (satu) = 425 kalori
6. Kentang goreng (satu kantung kecil) = 405 kalori
7. Sate ayam (secucuk) = 35 kalori
8. Pizza berkeju (sepotong) = 240 kalori
Kategori: Buah-buahan
1. Tembikai (sepotong) = 20 kalori
2. Betik (sepotong) = 45 kalori
3. Pisang emas (2 biji) = 76 kalori
4. Durian (5 ulas) = 64 kalori
5. Limau (sebiji) = 42 kalori
6. Jambu batu (sebiji) = 110 kalori
7. Nenas (sepotong) = 59 kalori
8. Epal (sebiji) = 63 kalori
9. Ciku (sebiji) = 44 kalori
10. Mangga (sebiji) = 103 kalori
Basal Metabolic Rate (BMR ).Apa kiatan dengan kalori?
Apabila kita mula menimbang dan mendapatkan analisis badan, pasti antara salah satu keputusan yang bakal diperolehi ialah BMR badan kita. Namun, tahukah kita apakah dia BMR itu sebenarnya?

BMR merupakan jumlah kalori yang diperlukan oleh badan kita semasa badan dalam keadaan berehat ataupun semasa tidur. Selain itu, BMR juga bermaksud kadar kalori paling minimum yang diperlukan bagi memastikan setiap otot atau organ badan berfungsi.  Ini menunjukkan bahawa sungguhpun badan sedang bersenang-lenang tidur atau berehat, tenaga masih lagi diperlukan dan diguna pakai. Namun, kadar BMR ini adalah berbeza-beza antara seseorang individu dengan yang lain bergantung kepada faktor umur, jantina, pekerjaan dan sebagainya.

Akan tetapi, apabila umur kita semakin meningkat, kadar BMR juga bakal menurun. Ini adalah kerana lean body mass adalah kurang- yang mana menyebabkan penurunan kadar BMR. Jika badan kita mempunyai lean body mass yang tinggi, maka kadar BMR juga adalah berkadar langsung.

Jadi, apa pula kaitannya BMR dengan pengurusan berat badan?

Jika BMR kita ialah 1400kcal, maka haruslah kita awasi apakah makanan yang masuk ke dalam badan kita; samada lebih tinggi kandungan kalorinya ataupun rendah. Kawalan kalori ini adalah penting kerana lebihan kalori yang masuk berbanding yang keluar akan menyebabkan bertambahnya lemak dalam badan!

Sebagai contoh; BMR saya ialah 1400kcal dan saya juga tidak mengamalkan aktiviti luar mahupun senaman ringan. Setiap hari, saya makan sebanyak 3 kali makanan berat dan beberapa kali makanan ringan seperti kuih apabila perut terasa lapar. Kesannya, kalori yang masuk adalah hampir 2000kcal! Lebihan 600kcal inilah yang bakal membuatkan saya gemuk dan menyesal di kemudian hari!

Kadar BMR bagi perempuan kebiasaanya ialah 1600-1800kcal manakala bagi lelaki ialah 1800-2000kcal. Oleh itu, sekiranya BMR kita agak rendah; pemakanan dan diet adalah penting untuk meningkatkan metabolisme badan. Pembinaan lean body mass menerusi pemakanan sedikit sebanyak boleh membantu selain mengamalkan senaman dan aktiviti luar.

Tuesday, 23 October 2012

Apa itu obesiti?

OBESITI merupakan pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Obesiti kini dianggap sebagai satu penyakit dan terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi keterlaluan. Lebih teruk lagi, obesiti boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ badan dan seterusnya akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Selain daripada mengehadkan kegiatan fizikal dan sosial, jangka hayat penghidapnya juga semakin pendek.

SIAPAKAH YANG TERGOLONG DALAM OBESITI

  • Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya dua kali lebih berat berbanding ukuran ideal;
  • Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya 45 kilogram melebihi berat badan sepatutnya;
  • Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 40 atau 35 (sila lihat di bawah untuk bagaimana mengira BMI);
  • Mengalami beberapa penyakit seperti tekanan darah tinggi atau diabetes(kencing manis); dan
  • Gagal mengekalkan berat badan yang sihat dalam jangka panjang sekalipun mengikut diet yang disarankan oleh pakar-pakar pemakanan.
Obesiti terjadi apabila pengambilan tenaga melebihi keperluan. Anda dikatakan obes sekiranya Indeks Jisim Tubuh (IJT) anda mencapai 30.0 kg/m2 atau lebih.

Apakah penyebab berlebihan berat badan dan obesiti?

Berlebihan berat badan atau obesiti adalah akibat ketidakseimbangan tenaga dimana pengambilan melebihi penggunaan pada jangka masa yang panjang.Pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak dan kalori serta penurunan tahap aktiviti fizikal juga merupakan faktor penyumbang utama masalah kegemukan dan obesiti.

Masalah lain juga boleh menyebabkan kegemukan. Ini termasuk:
  • Pengambilan sesetengah jenis ubat
  • Penyakit seperti hypothyroidism, penyakit Cushing’s hypothalamic tumors.
  • Pengurangan mendadak tahap aktiviti fizikal (ahli sukan yang bersara)
  • Ketidakseimbangan hormon
Apakah masalah-masalah kesihatan yang berkaitan dengan kegemukan?
  • Penyakit jantung dan tekanan darah tinggi
Risiko penyakit jantung yang berkaitan dengan obesiti adalah lebih akut di kalangan orang dewasa muda. Risiko juga tinggi dikalangan mereka yang berlebihan lemak pada bahagian abdomen.
  • Tekanan darah tinggi dan angin ahmar
Orang dewasa muda (berumur 20-44 tahun) yang berlebihan berat badan mempunyai risiko mendapat tekanan darah tinggi sebanyak 5.6 kali lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai berat badan normal.
  • Kencing Manis. Terutama di kalangan dewasa yang mempunyai berlebihan lemak di bahagian abdomen.
  • Kanser. Beberapa kajian menunjukkan kaitan yang positif antara berlebihan berat badan dan kanser terutama yang diakibatkan oleh hormon seperti kanser payu dara, kanser serviks, kanser uterus dan kanser ovari dan prostat.
  • Masalah endokrin. Kitaran haid yang tidak tetap, masalah berkaitan haid yang lain, dan masalah komplikasi kehamilan, terutamanya toksemia dan tekanan darah tinggi.
  • Penyakit pundi hempedu. Obesiti adalah faktor risiko bagi penyakit pundi hempedu bagi lelaki dan perempuan pada semua peringkat umur. Risiko tersebut semakin meningkat apabila terdapat lebihan lemak di bahagian abdomen.
  • Penyakit paru-paru. Individu yang obes mengalami masalah pernafasan. Ini mungkin diakibatkan oleh pengecilan rongga toraks akibat pengumpulan lemak di bahagian rusuk, abdomen dan diafragma.
  • Arthritis. Individu yang obes adalah berisiko tinggi untuk menghidap gout artritis iaitu keadaan yang sangat menyakitkan. Berlebihan berat badan akan memberi tekanan pada sendi-sendi, bahagian belakang dan lutut. Akhir sekali ia akan menyebabkan osteoartritis.


Bagaimana untuk menurunkan berat badan?
  • Runding dengan doktor anda untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah perubatan, biologi atau masalah psikologi yang menyebabkan masalah berlebihan berat badan.
  • Runding dengan pakar pemakanan atau pakar diet dari klinik atau hospital untuk mendapatkan nasihat cara menurunkan berat badan secara sihat dan selamat.
  • Anda perlu tahu keperluan tenaga harian anda supaya anda boleh mengurangkannya untuk menurunkan berat badan anda.
    • Rujuk contoh menu mengikut keperluan kalori anda.
  • Jangan terlalu mengurangkan pengambilan kalori kerana jika anda betul-betul lapar, anda akan makan berlebihan.
  • Makanlah mengikut saranan daripada Piramid Makanan Malaysia. Banyakkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh. Jangan hindar terus sumber gula dan lemak kerana ini boleh meningkatkan keinginan anda untuk makan. Selain itu, tubuh badan anda juga memerlukan nutrien yang terdapat dalam lemak dan karbohidrat.
  • Paling Penting: Lakukan senaman dengan konsisten. Mulakan dengan berjalan beberapa minit dan perlahan-lahan tingkatkan jangka masa senaman sehingga 45-60 minit sehari setiap hari. Jika anda belum pernah melakukan senaman, dapatkan nasihat daripada doktor anda terlebih dahulu.
  • Dapatkan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan kumpulan sokongan.
  • Ingat : Penurunan berat badan yang sihat dan realistik memang mengambil masa. Kehilangan ½ kg seminggu mungkin tidak memotivasikan anda, tetapi jika terlalu cepat berat badan diturunkan, anda akan membuat diri anda lapar dan akhirnya anda akan makan lebih banyak.
 Obesiti ataupun masalah kegemukan merupakan satu ancaman yang semakin serius kepada rakyat di negara ini. Saban tahun, kajian telah dijalankan bagi mengetahui peratusan dan tahap obesiti bagi penduduk di negara ini. Hasilnya adalah amat menakutkan kerana pertambahannya yang begitu drastik dari tahun ke tahun menunjukkan tahap kesedaran masyarakat kita masih amat berkurangan terutamanya berkaitan dengan soal pengambilan makanan seharian.

"Soal Selidik Pemakanan Kebangsaan 2002/2003 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan ke atas orang dewasa mendapati, masalah berlebihan berat badan meningkat kepada 27% (4.2 juta) berbanding hanya 16.6 % (1.7 juta) pada 1996."

Bagi tahun 2006 pula, peratusannya telah meningkat menjadi semakin tinggi sehingga mencapai 43.1% dan telah direkodkan sebagai antara negara yang mengalami tahap obesiti tertinggi di Asia. Peningkatan sebanyak 16% dalam tempoh 3 tahun telah cukup untuk membuktikan bahawa kita semua harus berubah dan perlu mengambil serius tentang isu obesiti ini.

Data dan statistik di atas jelas menunjukan bahawa negara kita bakal menghadapi satu krisis kesihatan yang teruk sekiranya tahap kesedaran berkaitan makanan ini tidak dipupuk kepada masyarakat kita. Fenomena 5G iaitu Gebu, Gemuk, Gempal, Gendut dan Gelebar akan berleluasa disegenap peringkat umur masyarakat kita. Malah yang lebih membimbangkan adalah 1001 penyakit kronik yang dikaitkan dengan obesiti bakal dihadapi sekiranya aspek ini tidak diambil serius.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...